Ranjau tampak menanti skuad Harimau Malaya untuk pertemuan menentang Hong Kong, Selasa ini susulan kehilangan dua penyerang tulen, Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Fauzi, yang diakui memberi impak besar kepada pasukan untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Kelmarin, Nadi Arena melaporkan Shahrel Fikri terpaksa digugurkan beberapa jam sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Hong Kong.

Penyerang PKNP FC itu menyertai Hazwan yang turut tercedera pangkal paha manakala Nor Azam Azih dikecualikan atas urusan peribadi membabitkan kesihatan ahli keluarganya.

Ketiadaan Shahrel dan Hazwan bermakna skuad negara mempunyai hanya seorang penyerang tulen, Darren Lok.

Mengulas mengenai situasi itu ketika skuad negara terdesak memerlukan kemenangan pertama, ini pandangan penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri.

"Mengikut keadaan semasa, situasi ini akan memberi impak kepada bahagian serangan.

"Kita mengharapkan Vingada membuat pilihan pemain berdasarkan formasi yang sesuai dengan pemain yang ada.

"Saya nampak ada pemain-pemain yang boleh mengambil peranan itu, contohnya Safawi Rasid dan Wan Zack Haikal Wan Noor sekiranya berlaku sesuatu ke atas Darren Lok.

"Pemilihan pemain perlu diteliti terlebih dahulu oleh Vingada kerana pertemuan ini boleh memberikan mata untuk pasukan kebangsaan," katanya.