Biarpun tempang dengan hanya seorang penyerang tulen dalam pasukan, Nelo Vingada tetap percaya mampu membentuk kombinasi ampuh untuk aksi kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, esok.

Ketiadaan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri, dan penyerang PKNP FC, Shareel Fikri Md Fauzi, tidak melemahkan keyakinan jurulatih kebangsaan itu.

Kini, beliau hanya memiliki Darren Lok sebagai penyerang tulen dalam skuad kebangsaan.

Namun, pengendali dari Portugal itu percaya barisan negara akan tetap mampu menampilkan aksi terbaik dengan pendekatan taktikal yang telah disediakan bagi perlawanan wajib menang dengan Hong Kong.

"Kami telah kehilangan beberapa tonggak utama pasukan tetapi kini lebih penting adalah pemain-pemain yang dapat diturunkan.

"Saya mempercayai mereka dan kami berusaha mencari kombinasi berbeza berbanding sekarang, kemungkinan cara berbeza kerana harapan yang kami ada tidak seperti sebelumnya," kata Vingada.

"Seperti anda tahu, sesetengah pemain sepatutnya bersama pasukan untuk aksi ini, kini perkara yang paling penting adalah keyakinan pemain-pemain. Mereka dalam keadaan positif untuk berdepan Hong Kong," tambahnya.

Sesi latihan semalam menyaksikan Vingada mencuba beberapa kombinasi berbeza membabitkan Darren, Safawi Rasid, Baddrol Bakhtiar dan Safiq Rahim.

Terdapat beberapa kombinasi yang menyaksikan Safiq atau Baddrol beraksi sebagai pemain tengah menyerang.

"Saya perlu melihat bagaimana pemain-pemain akan menyesuaikan diri dengan posisi-posisi yang berbeza. Kami akan cuba bermain dengan gaya permainan kami dan mengawal permainan ini.

"Kami juga perlu menyerang serta melakukan serangan balas. Saya memerlukan pemain yang memiliki kualiti yang mampu mengejutkan pasukan lawan," katanya lagi.