Di sebalik dua kekalahan kepada Korea Utara di Buriram, Thailand, ketua jurulatih pasukan negara, Nelo Vingada, tetap percaya dia masih individu yang tepat untuk mengembalikan zaman kegemilangan skuad Harimau Malaya jika terus diberi peluang dan ruang.

Bagaimanapun, katanya, dia sedia untuk meninggalkan pasukan jika diminta berbuat demikian walaupun mengakui memerlukan masa untuk memulihkan prestasi skuad.

"Situasi ini adalah tanggungjawab saya tetapi jika pemergian saya mampu memperbaiki keadaan, saya bersedia lepaskan jawatan," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

"Saya juga sedia kekal kerana sukakan Malaysia dan sukakan pemain-pemain dalam pasukan. Saya percaya pasukan kebangsaan mampu bersaing lebih baik berbanding sekarang dalam masa satu atau dua tahun lagi," tambahnya.

Skuad negara yang dilabel akhbar Kosmo sebagai 'Sotong Malaya' tertunduk layu, dua kali tewas 1-4 kepada Korea Utara, sekaligus gagal mara ke Piala Asia 2019 dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan B.

Terdahulu, dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi, Vingada diminta mengulas mengapa berlaku perubahan mendadak dalam kesebelasan utama dengan tiada langsung pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua itu.

Dia mempunyai alasan tersendiri, dengan menjelaskan perkara itu diputuskan demi menjaga moral pemain selepas kekalahan, Jumaat lalu.

"Menilai daripada semua aspek, khususnya pemain JDT yang diserang media, saya mahu elemen negatif itu jauh daripada pasukan kerana saya mahu melindungi pemain.

"Mereka bermain hebat dan mereka memberitahu saya bahawa mereka bersedia untuk menyahut sebarang cabaran dan berjuang bila-bila masa walapun hanya seminit," tambahnya.

Sejak mengambil alih daripada Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu, Vingada masih belum menemui sentuhan kemenangan di mana pencapaian terbaiknya ialah keputusan seri 1-1 berdepan Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia di Stadium Hang Jebat, September lalu.

Apa yang menggusarkan juga ialah skuad negara bolos 16 jaringan sepanjang di bawah bimbingan jurulatih yang digelar 'The Professor' itu.