Vingada letak jawatan

Oleh Penulis Jemputan 6 Disember 2017 14181
Vingada letak jawatan
Spekulasi mengenai masa depan Nelo Vingada akhirnya terjawab selepas beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, hari ini.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengendali kelahiran Portugal itu akur dengan keputusan yang diambil.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan," kata Vingada.

"Saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta merta dan Tunku Presiden sendiri turut telah menerima keputusan yang saya buat ini.

"Saya ingin memaklumkan juga bahawa dua pembantu yang saya bawa bersama ke sini, iaitu Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa, turut bersama melepaskan jawatan mereka, masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

"Akhir kata pada kesempatan ini, saya berharap dan berdoa agar bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini dan saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia biarpun dalam tempoh masa yang agak singkat ini."

Sejak dilantik mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee -- yang turun mengendalikan skuad B23 tahun negara -- Vingada gagal mencipta sebarang kemenangan serta menyaksikan skuad kebangsaan berada di kedudukan tercorot dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen