Pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri dan Hasnizam Uzir, bersependapat dua aksi kelayakan Piala Asia berdepan Korea Utara yang bakal berlansung di Thailand tidak menjamin kelebihan buat skuad negara.

Ini kerana barisan kendalian Nelo Vingada perlu tampil lebih ampuh kali ini selepas hanya mampu meraih satu mata selepas tiga perlawanan kelayakan.

“Persoalannya, mampukah Malaysia mencipta kemenangan dalam dua perlawanan di Thailand ini? Perkara paling penting adalah untuk memungut mata bagi memastikan Malaysia layak ke pusingan seterusnya,” kata Asmawi.

Vingada turut disarankan supaya menyerapkan lebih ramai pemain muda untuk digandingkan bersama beberapa tonggak senior dalam usaha menyuntik nafas baru buat pasukan.

"Pemain senior dilihat semakin tepu dan selesa berada dalam skuad tetapi berbeza buat pemain-pemain muda yang masih lagi mencari pengalaman baru serta dahagakan kejayaan di peringkat antarabangsa,” kata Hasnizam.

Semalam, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan perlawanan di antara Korea Utara dan Harimau Malaya akan berlangsung di Thailand pada 10 dan 13 November ini selepas tertangguh sejak sembilan bulan lalu.