Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada atau Nelo Vingada selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baru, dengan tugasan utama membawa Malaysia keluar daripada kemerosotan.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih dari Portugal itu, yang akan tiba di Malaysia 25 Mei ini bagi memulakan tugas secara rasmi.

"Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru dalam pasukan kebangsaan. Ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami.

"Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik, yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

"Kerjayanya bersama beberapa pasukan kebangsaan -- dalam pasukan belia dan skuad utama -- dan beberapa kelab menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada dan harapnya menemui kejayaan baru," kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelantikan Vingada menamatkan teka-teki serta pencarian hampir dua bulan untuk ketua jurulatih skuad Harimau Malaya selepas Datuk Ong Kim Swee ditukarkan jawatan kepada jurulatih skuad bawah 22 tahun negara oleh Tunku Ismail sebaik dipilih sebagai Presiden FAM pada 25 Mac lalu.

Tugas pertama Vingada ialah membimbing pasukan kebangsaan menentang Korea Utara di Pyongyang, 8 Jun depan, sebelum berdepan Lubnan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun.

"Setelah melihat ramai jurulatih tempatan dan juga luar melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan bahawa Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini. Saya mungkin silap tetapi hanya masa yang akan menentukan," tambah Tunku Ismail.

Sementara itu, jurulatih berusia 64 tahun itu berkata: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana telah menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya."

Vingada dikenali sebagai seorang jurulatih yang mengamalkan corak kejurulatihan yang tegas -- menjadi faktor utama dia dipilih sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia.

Dia yang diberi jolokan 'The Professor' mula mencipta nama selepas menjulang skuad bawah 20 tahun Portugal di pentas dunia.

Pengalaman sebagai jurulatih:

• 1993-1994 - Skuad senior Portugal
• 1995-1996 - Skuad B20 Portugal
• 1996-1997 - Skuad senior Arab Saudi
• 2007-2009 - Skuad senior Jordan

Pencapaian terbaik:

• Juara Piala Asia 1996/97 (Arab Saudi)
• Separuh akhir Sukan Olimpik 1996 (Portugal)
• Separuh akhir Piala Dunia B20 1995 (Portugal)