Skuad bola sepak negara tersingkir daripada pusingan akhir Piala Asia 2019 apabila sekali lagi tewas 4-1 kepada Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, malam tadi untuk kekal di tangga tercorot Kumpulan B.

"Saya bangga dengan banyak perkara, namun sudah tentu saya sedih dengan keputusan perlawanan.

"Sekali lagi, saya tidak sangsi dengan kemampuan mereka apabila mencipta banyak peluang untuk memenangi perlawanan," kata jurulatih negara, Nelo Vingada, yang belum pernah memenangi sebarang perlawanan sejak mengendalikan Harimau Malaya, Jun lalu.

Barisan yang digunakan Vingada ternyata penuh kejutan apabila tiada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) diturunkan dalam kesebelasan utama dengan empat pemain membuat penampilan pertama.

Begitupun, skrip sama terus ditampilkan oleh Harimau Malaya apabila terus bermurah hati memberi jaringan kepada lawan melalui situasi sepakan bola mati.

Gol pertama Korea Utara terhasil pada minit ke-15 menerusi penyerangnya, Kim Yu Song, yang tidak dicabar untuk mudah menanduk masuk bola sepakan penjuru yang diambil Jong Il Gwan.

Lima minit kemudian, gawang negara terus bocor dan kali ini hasil sepakan penjuru dari sebelah kanan, juga menerusi Yu Song.

Penyerang itu mencipta hatrik sebelum separuh masa pertama berakhir apabila mudah menyepak masuk hantaran rendah dari sebelah kanan oleh Kim Yong Il.

Korea Utara terus melebarkan kedudukan pada minit ke-79 apabila Ri Un-Chol berjaya melepasi kawalan Nazirul Naim Che Hashim untuk melakukan hantaran yang disudahkan oleh Yong Il.

Safawi Rasid kemudian membuktikan dia peledak yang boleh diharapkan skuad negara selepas jaringan sagu hatinya pada minit ke-85 hasil hantaran cantik Nor Azam Azih memuktamadkan keputusan 4-1.

"Seperti perlawanan pertama, kami menjaringkan empat gol dan selepas itu mula berhenti bermain secara menyerang dan hanya cuba untuk menguasai bola seperti perlawanan Jumaat lepas," ujar ketua jurulatih Korea, Jorn Andersen.