Villas-Boas kutuk Tuchel, PSG selepas menang aksi Le Classique

Oleh Muzaffar Musa 14 September 2020 1078
Villas-Boas kutuk Tuchel, PSG selepas menang aksi Le Classique
Andre Villas-Boas mengutuk Thomas Tuchel dan mengusik kegagalan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas Marseille menewaskan pasukan itu dalam perlawanan Le Classique awal pagi tadi.

Jaringan Florian Thauvin dalam babak pertama sudah cukup untuk Marseille menamatkan kemarau 20 perlawanan tanpa kemenangan ke atas PSG dalam perlawanan penuh tegang di Paris itu.

Lima pemain, termasuk bintang PSG, Neymar, diarahkan keluar padang susulan satu insiden pergaduhan dalam waktu kecederaan.

ketua jurulatih Marseille, Villas-Boas, mendedahkan bahawa dia ada mengutuk pengendali PSG, Tuchel, yang pasukannya tewas dua perlawanan berturut-turut dalam pembukan Ligue 1 musim 2020-21.

"Ia penghinaan yang normal -- anda sampah, tidak, anda sememangnya sampah," katanya dalam sidang media.

"Dia berkata kepada saya bahawa dia bermain loteri malam ini, saya berkata kepadanya bahawa dia juga bermain loteri ke atas Atalanta (dalam suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu).

"Ia cukup adil. Saya amat menghormatinya. Saya menghargai apa yang dilakukannya," katanya.
 
PSG memerlukan dua gol lewat permainan untuk menewaskan Atalanta pada Ogos lalu sebelum ditewaskan Bayern Munich dalam final.

Villas-Boas berkata Tuchel berada dalam tekanan untuk memenangi Liga Juara-Juara buat PSG.

"Amat jelas, PSG sedang menantikan trofi itu, Liga Juara-Juara. Anda tidak boleh melabur AS$1.5 bilion (RM6.2 bilion) tanpa memenangi Liga Juara-Juara.

"(Carlo) Ancelotti pernah berada disini dan kini dia melatih Everton. (Unai) Emery pernah berada di sini dan kini dia bersama Villarreal.

"Ia amat sukar. Mereka sedang menantikan Liga Juara-Juara.

"Saya menghargainya. Mereka bermain dengan baik, bertahan dengan baik dan agresif.

"Saya berkata kepadanya, 'malangnya saya tidak boleh bermain seperti anda'. 

"Tetapi saya amat menyukainya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen