Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menyifatkan faktor kesilapan sebagai punca mereka tewas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam.

Skuad kebangsaan turun berdepan Vietnam dengan misi meraih sekurang-kurangnya satu mata selepas menyedari lawan begitu sukar untuk dijinakkan.

Tampil dengan kesebelasan berbeza berbanding dua aksi terdahulu, skuad negara, bagaimanapun, gagal melakukan permulaan sempurna.

Gawang mereka bocor seawal minit ke-11 apabila kealpaan barisan pertahanan membantu penyerang lincah, Nguyen Cong Phuong, meraih jaringan.

Situasi sama berlaku untuk gol kedua Vietnam setelah kesilapan Norshahrul Idlan Talaha membolehkan Nguyen Anh Duc menambah jaringan tuan rumah.

Situasi itu jelas menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan walaupun skuad negara mempamer aksi lebih baik menerusi penguasaan bola.

"Bahagian depan kami agak longgar dan kami dihukum Vietnam menerusi gol pantas. Kami tahu Vietnam memiliki permainan hebat dan kami perlu meningkatkan prestasi bagi aksi seterusnya," kata Cheng Hoe.

Hakikat itu tidak dinafikan pengendali Vietnam, Park Hang Seo, yang cukup berpuas hati dengan kejayaan pasukannya merekodkan kemenangan kedua dalam kejohanan kali ini.

"Saya melakukan perubahan taktikal berdepan Malaysia kerana faktor kekuatan dan ia berhasil. Jadi, saya cukup berbangga dengan komitmen anak buah saya kali ini," ujar Hang Seo.

"Aksi semalam sangat sukar untuk kami. Kami bernasib baik dapat mencatat kemenangan. Ramai peminat ingin kami mencipta kemenangan dan ini adalah hadiah untuk mereka," tambah pemain tengah Vietnam, Luong Xuan Truong.