Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal, mengakui dia tidak gembira dengan kekurangan waktu beraksi bersama pasukan tetapi menegaskan dia akan bercakap terus dengan pengendali, Ernesto Valverde, sekiranya memiliki sebarang masalah.

Vidal menjadi tumpuan selepas menunjukkan kemarahan ketika Barca menundukkan Tottenham Hotspur 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu apabila menggunakan medium media sosial untuk meluahkan rasa kecewa.

Satu lambang animasi marah diletakkan oleh Vidal di laman media sosial selepas aksi di Wembley itu.

Dia turut terlepas daripada membarisi kesebelasan utama Barca ketika mereka diikat seri 1-1 dalam kunjungan ke Valencia, kelmarin.

Ditanya mengenai situasi di Camp Nou, pemain berusia 31 tahun itu yang kini berada di Miami bagi aksi persahabatan melibatkan Chile menentang Peru, Jumaat ini, sebelum ke Queretaro untuk menentang Mexico, empat hari kemudian, memberitahu wartawan: "Saya tidak gembira tetapi jika adalah masalah, saya akan bercakap terus kepada jurulatih.

"Bagaimana saya boleh gembira jika tidak beraksi? Saya seorang pemain yang sentiasa berjuang, ia sentiasa berlaku di dalam pasukan terbaik dunia yang sudah memenangi segalanya dan mahu terus meraih kejayaan di Barca.

"Secara fizikal, saya gembira. Dalam beberapa aksi sebelum ini, saya agak terganggu tetapi kami tetap berjuang. Terdapat banyak perlawanan yang menanti dan kita akan lihat nanti," ujarnya.

Tindakan Vidal di laman sosial dipersoal selepas dia pantas memadamkan pesanan yang dilakukan, iaitu "Anda tidak perlu bertarung dengan Judas, mereka akhirnya menggantung diri sendiri."

"Apabila saya berdepan masalah atau berasa marah, saya terus menemui jurulatih dan bercakap dengan mereka. Anda boleh menggunakan pelbagai sebab untuk melakukan perkara sebegini.

"Pesanan itu tiada kena-mengena dengan sukan dan saya memadamkannya untuk mengelakkan orang ramai menimbulkan spekulasi. Ia adalah perkara peribadi, berjenaka di laman sosial dan orang ramai akan salah anggap," katanya lagi.