Pemain tengah Chile, Arturo Vidal, berjanji akan terus bersama pasukan kebangsaan walaupun wujud cadangan yang mahukannya bersara dari peringkat antarabangsa selepas kegagalan pasukan ke Piala Dunia 2018.

Chile tewas 0-3 di tangan Brazil dalam aksi terakhir pusingan kelayakan awal pagi semalam sambil Peru berjaya mencatat keputusan seri menentang Colombia, sekaligus mengesahkan tiket play-off menentang New Zealand.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatannya bersama skuad kebangsaan dalam masa terdekat.

Pemain tengah Bayern Munich itu sudah melakukan 98 penampilan buat pasukan Chile dan bercadang untuk terus menambah angka tersebut.

"Seorang pejuang akan menangis, berasa takut malah kecewa, tetapi tidak akan menyerah kalah atau berputus asa sebelum mati," katanya menerusi laman sosial Twitter peribadinya.

"Ini adalah waktu yang sukar. Saya tidak akan meninggalkan pasukan. Setiap kali menerima panggilan, saya akan bersedia untuk berkhidmat buat pasukan kebangsaan."