Langkah menandatangani Arturo Vidal daripada Barcelona mampu meningkatkan Inter ke tahap lebih tinggi, menurut naib presiden kelab, Javier Zanetti.

Pemain kebangsaan Chile itu kuat dikaitkan dengan perpindahan menyertai The Nerazzurri bulan depan, malah enggan menolak sebarang kebarangkalian untuk berhijrah ke kelab tersebut.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya turun enam kali dalam kesebelasan utama untuk semua kejohanan bersama Barca musim ini, namun telah menjaringkan lima gol dalam saingan LaLiga.

Inter dilaporkan berharap untuk memeterai perpindahan pemain tengah berpengalaman itu secara pinjaman dan Zanetti berasakan kehadirannya mampu meningkatkan lagi mutu pasukan.

"Kami akan melihat apa yang bakal berlaku dalam jendela perpindahan kali ini. Kami mempunyai sebulan untuk menyelesaikan perkara ini," katanya kepada ESPN.

"Vidal seorang pemain yang memiliki perwatakan yang bagus serta berpengalaman. Kami sedang berbincang mengenai pemain yang mampu melonjakkan pasukan dan kami sudah memiliki pemain-pemain yang berkualiti."

Inter mendahului Serie A dengan perbezaan jaringan dan akan kembali beraksi berdepan Napoli, Isnin depan.



Editor: Ammar Hakim