Arturo Vidal menyifatkan Chile memiliki segala-galanya untuk menjuarai piala untuk tempoh 10 tahun akan datang -- bintang Bayern Munich itu mahu terus menjadi tunjang pasukan untuk melakar kejayaan tersebut.

Pemain berusia 30 tahun itu memainkan peranan yang berpengaruh di dalam kejayaan Chile dalam saingan Copa America 2015 dan 2016 untuk melonjakkan skuad bimbingan Juan Antonio Pizzi kini di tangga keempat ranking FIFA.

Vidal percaya La Roja memiliki kualiti yang secukupnya untuk menjuarai Piala Konfederasi di Russia dan sedia menghadapi cabaran Piala Dunia tahun hadapan dan terus mendominasi saingan bola sepak antarabangsa.

"Saya seorang yang sangat gembira jika berbicara mengenai diri saya dan pasukan kebangsaan saya. Kami telah memenangi dua kejohanan utama di Amerika Selatan.

"Saya tidak tahu sama ada ia merupakan pencapaian terbaik saya tetapi saya berharap untuk terus mempertingkatkan mutu permainan.

"Chile berupaya untuk menjuarai saingan kali ini, bersaing untuk merebut Piala Dunia dan saingan Copa America yang akan datang.

"Kami memiliki pemain-pemain yang bagus dan seorang jurulatih yang berpengalaman. Kami memiliki segala-galanya untuk dinobat sebagai juara."

Vidal merupakan salah seorang pemain yang terlibat ketika tewas 1-0 dalam aksi persahabatan dengan Jerman di Stuttgart pada Mac 2014 dan bekas pemain Juventus itu berasakan ia merupakan salah satu titik permulaan peningkatan dalam mutu permainan pasukannya.

"Saya berasakan pasukan kini sudah lebih matang.

"Kami telah bertemu dengan Jerman pada 2014 dan ia telah menunjukkan kepada kami bahawa kami bersedia untuk memenangi kejohanan utama. Mereka meraih kemenangan 1-0 tetapi menyedari kemampuan yang dimiliki oleh Chile."