Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal, terdesak memburu peluang untuk beraksi dalam barisan utama pasukannya selepas membantu kemenangan ke atas Cultural Leonesa dalam saingan Copa del Rey, awal pagi tadi.

Vidal bermula sebagai kesebelasan utama buat kali ketiga musim ini yang menyaksikan juara LaLiga itu memperoleh kemenangan 1-0 dalam aksi pertama pusingan 32.

Pemain kebangsaan Chile itu, yang menyertai Barca daripada Bayern Munich, Ogos lalu, menyatakan bahawa dia mahu memanfaatkan setiap peluang yang diberikan ketika mewakili pasukan.

"Saya memanfaatkan sepenuhnya setiap minit yang diberikan untuk beraksi supaya saya dapat berada dalam kesebelasan utama," kata Vidal dalam laman web rasmi pasukan.

Barca memerlukan 91 minit sebelum Clement Lenglet menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan lawan dari divisyen tiga, Cultural Leonesa.

Pengendali pasukan, Ernesto Valverde, memuji aksi yang dipaparkan pasukannya itu.

"Pemain-pemain saya mempunyai sikap yang baik untuk menang tetapi permainan kami tidak lancar dan kami banyak kehilangan bola.

"Bola sepak seperti ujian yang sentiasa mendatang, namun saya dapat melihat beberapa perkara yang baik.

"Pemain-pemain saya nampak baik. Mereka memikul bebanan yang besar. Pemain muda kami bermain dalam liga Divisyen 2B, namun Cultural hari ini bermain dengan intensiti yang amat tinggi," katanya.