Jika berasa tidak penting lagi bersama Barcelona, Arturo Vidal berikrar untuk meninggalkan juara LaLiga itu tahun depan.

Pemain Chile itu hanya empat kali membarisi kesebelasan utama setelah beraksi dalam 13 daripada 18 perlawanan buat Barca musim ini.

Dia tiba di Camp Nou daripada Bayern Munich tahun lalu dan masih memiliki baki 18 bulan kontrak tetapi pemain berusia 32 tahun itu akan mempertimbangkan untuk keluar lebih awal jika tidak diberi tempoh permainan yang mencukupi.

"Saya mahu berada di sini selama-lamanya tetapi dalam masa sama mempunyai objektif setiap hari," katanya kepada Televisio de Catalunya.

"Jika dalam bulan depan atau penghujung musim nanti saya berasa tidak penting di sini, saya akan cuba mencari penyelesaian dan meluaskan pengalaman ke tempat lain dalam usaha untuk berasa penting."

Barca kini menduduki tangga teratas LaLiga dan melangkah ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah tatkala masih berbaki satu perlawanan tetapi Vidal sedar prestasi pasukannya itu masih belum cukup bagus.

"Ada yang berkata segalanya baik tetapi jelas sekali, dalam usaha pasukan mahu mencapai sasaran dan menjulang trofi di akhir musim ini, banyak perkara perlu ditingkatkan," tambahnya.

"Kami berada pada tepat masanya. Kami harus mula memberikan segalanya pada tahap maksimum dan bekerja lebih keras.

"Liga Juara-Juara amat sukar. Banyak pasukan yang kuat. Liverpool telah membuktikannya musim lalu bahawa mereka terlalu bagus."

Barca bakal menyambung aksi LaLiga dengan berkunjung ke seteru kejuaraan, Atletico Madrid, esok.