Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes, telah memberi kesan besar kepada karier Arturo Vidal hingga membuatkannya dilihat sebagai seorang bapa.

Vidal mula menikmati bola sepak di Eropah apabila menyertai Bayer Leverkusen dari Colo-Colo pada 2007 susulan aksi hebat di pentas Piala Dunia B-20 di Kanada.

Dia muncul nadi utama Leverkusen dan mengharungi dua musim terbaik sejak ketibaan Heynckes pada 2009 sebelum berhijrah ke Itali untuk menyarung jersi Juventus.

Kedua-duanya kembali bekerjasama selepas pengurus dari Jerman itu menggantikan tempat Carlo Ancelotti yang dipecat tahun lalu dan pemain tengah Chile itu gembira dapat kembali beraksi di bawah kendalian individu yang membentuknya, suatu masa dulu.

"Dia adalah bapa kepada saya. Ketika di Leverkusen, dia membentuk saya sewaktu masih muda. Leverkusen berkembang dengan baik di bawah bimbingannya.

"Heynckes sangat mengenali saya, malah mampu bercakap dengan saya dalam bahasa Sepanyol. Ia sangat membantu," kata Vidal.

Bayern kini tepat di landasan untuk memburu kejuaraan Bundesliga yang keenam berturut-turut dan ia mampu disahkan lebih awal, hujung minggu ini.

Bagi Vidal, kunci utama pasukannya adalah setiap pemain yang membarisi skuad Bavarian itu merupakan pemain berkelas dunia.

"Saya dapati mereka menjalankan tanggungjawab dengan hebat.

"Semua pemain di sini melakukan tugas dengan sangat baik dan tahu posisi mana yang patut dipertingkatkan ketika membeli pemain, jadi mereka tidak perlu menghabiskan terlalu banyak wang.

"Pasukan lain terpaksa berbelanja besar kerana kekurangan kualiti dalam skuad. Mereka harus mendapatkan bintang baru untuk menyamai tahap seperti Bayern Munich", tambahnya.