Vidal bawa jiwa Barcelona hadapi Real Madrid 

Oleh Shaiful Shamsudin 3 November 2020 160
 Vidal bawa jiwa Barcelona hadapi Real Madrid 
Pemain tengah Inter, Arturo Vidal, akan menggunakan pengalamannya bersama Barcelona sebagai insentif tambahan untuk memburu kemenangan ke atas Real Madrid dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok. 

Vidal melalui tempoh dua musim di Camp Nou sebelum berubah angin ke Serie A apabila menyertai Inter dengan harga murah September lalu.

Pemain antarabangsa Chile itu telah membuat lapan penampilan bersama Nerazzurri dan dijangka akan berdepan Madrid dalam perlawanan tumpuan Kumpulan B di ibu negara Sepanyol berkenaan.

Vidal berhajat memastikan tiga mata buat Inter di Estadio Alfredo Di Stefano, justeru dia merancang untuk meraikan kemenangan itu bersama penyokong kelab lama dan barunya.

"Semua perlawanan akan menjadi sangat getir bagi kami ketika ini," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik, penting untuk menentukan kedudukan dalam kumpulan. Saya akan menghadapi mereka seolah-olah saya masih merupakan pemain Barcelona.

 

"Saya pernah mengharungi dua musim yang menakjubkan di Barcelona, ​jadi saya berharap dapat meraikan kemenangan itu di samping peminat Inter dan Barcelona."

Vidal berhasrat untuk muncul pemain pertama yang menjaringkan gol ke atas Madrid bersama tiga pasukan berbeza di peringkat Eropah apabila pernah melakukannya dengan bersama jaguh Serie A, Juventus, dan juara bertahan Bundesliga, Bayern Munich.

Pemain berusia 33 tahun itu masih belum memahat namanya selaku penjaring Inter tetapi mempunyai reputasi menyumbat lapan gol dalam musim terakhirnya bersama Barca, jumlah itu hanya diatasi Antoine Griezmann (9), Luis Suarez (16) dan Lionel Messi (25).

"Saya pernah menjaringkan banyak gol tetapi sekarang saya harus memberikan yang terbaik dan melaksanakan arahan pengurus," katanya. 

"Saya sering mengutamakan pasukan.

"Saya gembira dapat beraksi di sini dan saya akan terus melakukan apa yang diminta pengurus."

Madrid telah memenangi enam daripada tujuh pertemuan dengan Inter, namun ini adalah kali pertama pasukan Sepanyol itu menjadi tuan rumah kepada pertembungan mereka sejak September 1998 yang memihak mereka 2-0.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen