Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal, bakal menyertai rakan senegaranya di Chile, Alexis Sanchez, untuk berhijrah ke Inter Milan musim depan, kata bekas penyerang Nerazzurri, Ivan Zamorano.

Vidal dikaitkan dengan skuad kendalian Antonio Conte itu sebelum jendela perpindahan bulan lalu ditutup tetpai perpindahan itu gagal dilengkapkan.

Sanchez kini dipinjamkan ke Inter daripada Manchester United sehingga akhir musim dan tatkala The Red Devils dikatakan bercadang membawanya pulang ke Old Trafford, Zamorano yakin dua bintang Chile itu akan beraksi dalam Serie A bagi musim 2020-21.

"Sanchez mempunyai kontrak bersama United tetapi lihat nanti jika dia mahu terus beraksi bersama kelab yang menggembirakannya," ujar Zamorano, yang memenangi Piala UEFA musim 1997-98 bersama Inter.

"Apa yang penting adalah Sanchez menikmati aksi bola sepak kerana sewaktu dia menemui rentak, dia mengalami kecederaan. Dia tidak banyak bermain bersama United, jadi dia tidak begitu cergas ketika tiba di Inter.

"Saya mahu dia kekal di Inter, lebih-lebih lagi apabila berpeluang beraksi bersama rakan senegara pada Jun nanti memandangkan Vidal berkemungkinan besar akan hadir.

"Jadi, saya yakin dua pemain Chile akan berada di Inter musim depan dan saya memiliki beberapa maklumat mengenainya.

"Semua tahu nilai Vidal buat Conte dan saya pasti Jun nanti pihak kelab akan cuba mendapatkannya daripada Barca. Peminat Inter pasti akan gembira untuk memiliki Vidal."



Editor: Nafis Abdullah