Ketua jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery menyatakan kepentingan Marco Verratti kepada juara Perancis itu, selepas pemain tengah itu terus dikaitkan dengan perpindahan keluar dari kelab.

Terdapat spekulasi bekas pengurus Itali, Antonio Conte kini dalam usaha untuk menarik Verratti beraksi dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Walaupun telah menandatangani kontrak lima tahun bersama PSG pada bulan Ogos, masa depan Verratti di kelab ibu negara itu masih jauh untuk diperkatakan. Bagaimanapun, Emery memuji pemain kebangsaan Itali yang berusia 23 tahun itu.

"Dia sangat penting. Dia seorang pemain yang mempunyai kualiti. Dia membawa kualiti tersebut kepada pasukan dan rakan sepasukannya," kata Emery menjelang perlawanan malam ini bertemu Guingamp dalam Ligue 1.

"Tidak ramai pemain yang bermain seperti dia. Dia merupakan salah seorang pemain yang paling penting di PSG. Dia mempunyai kualiti yang cukup tinggi, dia bermain dengan sepenuh hati dan dia mempunyai keadaan minda yang positif mengenai persaingan dan pasukan lawan. Dia memberikan tekanan dan ia sangat berkesan.

"Apabila anda merupakan jurulatihnya, ia sangat mudah untuk melatih dia. Anda suka melatih pemain seperti dia. Dia mahu bermain setiap hari. Setiap hari dia berkata bahawa dia dalam keadaan baik. Dia sentiasa bersedia untuk pasukan. Dia penting bagi pasukan .

"Apabila dia berada di atas padang, pasukan beraksi dengan lebih baik."