Marco Verratti berkata bahawa dia akan melakukan segala-galanya untuk bermain buat Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Bayern Munich di Lisbon hujung minggu ini, perlawanan yang disifatkannya sebagai 90 minit paling penting dalam sejarah kelab itu.

Pemain tengah kebangsaan Itali itu tidak dapat beraksi dalam perlawanan suku akhir menentang Atalanta gara-gara kecederaan betis yang menimpanya sebelum mereka ke Lisbon.

Verratti dimasukkan seketika sebagai pemain gantian ketika PSG menewaskan RB Leipzig dalam separuh akhir untuk menempah tempat dalam final di Estadio da Luz hujung minggu ini.

Pemain berusia 27 tahun itu sedang melakukan apa yang termampu untuk mengambil bahagian dalam penentuan itu tetapi menyedari segala perancangan terletak di tangan ketua jurulatih, Thomas Tuchel.

Dia berkata: "Saya semakin baik, saya akan bermula semula secara perlahan-lahan bersama pasukan ini. Kecederaan ini agak sukar untuk diterima.

"Saya sudah kembali bersama pasukan ini sejak dua atau tiga hari lalu dan akan melakukan segala-galanya untuk beraksi dalam perlawanan itu.

"Saya dapat diturunkan dalam perlawanan separuh akhir. Ia terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan," katanya.

PSG mendominasi saingan domestik sejak dibeli oleh pemilik dari Qatar pada Jun 2021, termasuk menyapu bersih semua gelaran musim ini.

Sasaran utama juara Ligue 1 itu adalah untuk mengungguli saingan peringkat benua berkenaan, di mana mereka akan beraksi dalam final pertama kejohanan itu.

Pencapaian terbaik PSG adalah mara ke separuh akhir edisi 1994-95 dan Verratti sedar mereka memegang tanggungjawab besar untuk menamatkan penantian berkenaan.

"UCL sentiasa sukar. Setakat ini, kami sudah melalui perjalanan yang luar biasa.

"Kami mempunyai 90 minit lagi dan 90 minit ini adalah yang penting bagi hidup kami sebagai pemain bola sepak dan sejarah kelab ini. Anda perlu bersedia," tambahnya.