Juan Sebastian Veron, 41 tahun, kembali daripada persaraan apabila menandatangani kontrak selama 18 bulan untuk beraksi bersama Estudiantes secara percuma.

Bekas pemain tengah Manchester United dan Chelsea itu memulakan karier bersama kelab Argentina itu pada tahun 1994 sebelum bersara pada tahun 2014 dan dilantik selaku pengerusi.

Veron telah berjanji untuk beraksi dalam Copa Libertadores 2017 sekiranya penyokong membeli 65 peratus daripada tempat duduk khas di stadium baru kelab itu.

Bekas pemain antarabangsa Argentina itu bertekad menunaikan janjinya dan akan beraksi sehingga tahun 2018 di mana usianya akan mencecah 43 tahun.

Veron bebas beraksi di peringkat domestik dan antarabangsa dengan gajinya akan disalurkan kepada program pembangunan kelab itu.

Peminat akan mendapat peluang melihat aksi pertamanya apabila Estudiantes turun berdepan Bayer Leverkusen dalam Piala Florida pada 8 Januari ini.