Sambil menegaskan dia belum meletak jawatan, Gian Piero Ventura membayangkan bahawa masa depan sebagai ketua jurulatih Itali bakal berakhir susulan kegagalan memalukan Azzurri untuk layak ke Piala Dunia 2018.

Buntu tanpa jaringan ketika menentang Sweden di Milan pada awal pagi tadi, menyebabkan Itali tewas 1-0 secara agregat dan kali pertama gagal layak ke pusingan akhir dalam tempoh 60 tahun.

Laporan di Itali mencadangkan kedudukan Ventura berada dalam bahaya tanpa mengira sama ada mereka layak atau tidak, justeru kegagalan di San Siro menimbulkan khabar angin bahawa dia telah menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Ventura, bagaimanapun, mendedahkan dia belum bertemu Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, (FIGC), Carlo Tavecchio, namun membayangkan kerjayanya bersama skuad kebangsaan akan berakhir selepas hasil pertemuan dengan Sweden itu.

"Saya tidak meletak jawatan kerana saya belum bercakap dengan presiden," Ventura memberitahu sidang media yang tertangguh.

"Saya minta maaf kerana terlambat tetapi setiap pemain saya telah melaksanakan tugas dengan istimewa, saya mahu memberi penghormatan kepada mereka secara individu.

"Ini satu keputusan yang sangat berat untuk ditanggung kerana saya benar-benar yakin, dan permainan malam ini mengesahkannya bahawa kami menyimpan hasrat yang tinggi untuk mengatasi halangan ini. Saya sudah bertahun-tahun bergelumang dengan bola sepak dan sedar apakah perasaannya.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada kumpulan Azzurri, saya bangga kerana telah bekerja dengan juara yang hebat dan dengan pihak yang saya harap akan menjadi juara.

"Saya kecewa kerana sekali lagi pada malam ini, saya menyedari betapa bermaknanya skuad Nazionale (pasukan kebangsaan) kepada orang ramai. Saya berterima kasih kepada semua orang di San Siro yang membantu kami pada saat-saat terakhir. Ia adalah unik dan luar biasa.

"Buat masa ini, kenyataan bahawa kami memang berhak untuk layak bukanlah perkara utama.

"Saya perlu menilai semua isu ini, saya akan bertemu dengan presiden dan membincangkannya, sebagaimana lazimnya pertemuan saya dengan Tavecchio dan FIGC secara keseluruhannya.

"Saya kesal Gianluigi Buffon, Andrea Barzagli dan Daniele De Rossi tidak lagi akan mewakili Itali dan berakhir dengan cara sebegini.

"Saya kesal dengan keputusan perlawanan ini tetapi tidak dengan usaha dan kerja keras yang telah diberikan. Saya sedar keputusan perlawanan adalah perkara paling utama," hujahnya.