ITALI 1 MACEDONIA 1

Pengendali Itali, Gian Piero Ventura menyalahkan tahap kecergasan pemain-pemainnya sebagai punca Itali sekadar meraih keputusan seri 1-1 dengan Macedonia dalam saingan kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.


Jaringan pembukaan Giorgio Chiellini pada babak pertama perlawanan tidak mencukupi buat Itali selepas Aleksandar Trajkovski meledak gol penyamaan 13 minit sebelum perlawanan tamat untuk mengecewakan Itali daripada meraih tiga mata.

Skuad Azzurri akan berkunjung ke Albania pada Isnin bagi menghadapi aksi terakhir peringkat kumpulan dan Ventura mahu menurunkan pemain-pemain utama dalam kesebelasan pasukannya.

"Kami kehilangan beberapa tonggak utama dan gagal mengulangi persembahan pada separuh masa pertama," katanya.

"Kami gagal meneruskan momentum dalam separuh masa kedua dan tahap kecergasan yang rendah menjadi punca kami bolos di penghujung permainan.

"Tahap kecergasan sangat penting, ia memastikan fokus pemain-pemain sepanjang perlawanan dan ia telah menghukum kami. Dalam bola sepak, jika anda tidak melakukan sesuatu ketika menyerang, anda akan dibolosi pasukan lawan.

"Kami berharahp empat atau lima pemain utama dapat kembali berada pada tahap terbaik. Kami amat memerlukan mereka bagi membantu Itali mara ke Russia 2018," katanya.

Sementara itu, penjaga gol, Gianluigi Buffon – yang membuat penampilan ke-172 ketika seri dengan Macedonia -- berkata Itali masih lagi terkesan dengan kekalahan kepada Sepanyol.

"Kekalahan kepada Sepanyol menjatuhkan semangat kami, Itali gagal mempamerkan persembahan terbaik.

"Kami masih terkesan dengan kekalahan itu. Jika kami menang 1-0 dalam perlawanan ini, ia tidak akan mengubah apa-apa daripada segi prestasi pasukan, individu mahupun kelancaran kami bermain," katanya.