Pemain tengah negara, S. Veenod, mendedahkan bahawa dia sebenarnya adalah pelari jarak jauh ketika di bangku sekolah sebelum membuat keputusan memilih sukan bola sepak.

Kelebihan itulah yang membuatkan Veenod tampak cukup cergas berbanding pemain lain serta mampu mengekalkan kepantasan dalam larian sehingga tamat permainan.

Malah, ada rakan sepasukan dan peminat menggelarkan pemain berusia 28 tahun yang beraksi dengan Selangor itu mempunyai dua jantung.

Menurut Veenod, acara 3,000 dan 5,000 meter menjadi kategori kegemarannya ketika aktif dalam bidang olahraga.

“Ketika di bangku sekolah, saya mengambil acara 3,000 dan 5,000 meter. Acara ini telah memberikan saya ketahanan untuk beraksi di atas padang,” kata Veenod.

Mengulas pujian yang dilontarkan Datuk Ong Kim Swee terhadap peningkatan persembahannya sejak kebelakangan ini, Veenod tidak cepat mahu meninggi diri.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu menjelaskan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu berada dalam kesebelasan utama negara.

“Saya akan berusaha dan bekerja keras untuk bermain dalam kesebelasan utama dan disenaraikan dalam skuad 23 pemain.”

Dengan berbekalkan pencapaian hebat bersama Selangor, Veenod dilamar skuad kebangsaan.

Antara kejayaan yang melonjakkan namanya ialah ketika membantu Gergasi Merah muncul juara Piala Malaysia tahun lalu.

Skuad negara akan menyertai tujuh negara Asia Tenggara lain untuk bersaing dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki di Myanmar dan Filipina, dari 19 November-17 Disember ini.