Vazquez tuntut aksi 100 peratus Real Madrid bagi kecewakan Barcelona 

Oleh Shaiful Shamsudin 2 Jun 2020 47
Vazquez tuntut aksi 100 peratus Real Madrid bagi kecewakan Barcelona 
Lucas Vazquez kembali menjalani latihan penuh di Real Madrid sambil berharap mereka mampu memenangi kesemua baki perlawanan LaLiga dalam usaha menggulingkan Barcelona.

Semalam, kelab LaLiga itu dibenarkan berlatih secara berkumpulan tanpa sekatan buat pertama kalinya sejak wabak COVID-19 mendorong saingan musim ini tertangguh sejak Mac lalu. 

Kempen musim ini akan bersambung 11 Jun depan yang menyaksikan Madrid sedang menghambat pendahulu LaLiga, Barca, dengan dua mata menerusi baki 11 perlawanan.

Aksi pertama Madrid sebaik saingan itu kembali adalah bertemu Eibar, sehubungan itu Vazquez berharap ia dapat menjadi permulaan kepada rentak kemenangan mereka dalam misi barisan bimbingan Zinedine Zidane tersebut meraih gelaran liga pertama sejak 2017.

"Eibar merupakan titik permulaan kepada baki 11 'aksi final', semoga kami dapat mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan demi memenangi gelaran," katanya kepada Real Madrid TV.

 

Tambahnya: "Kami seronok dapat berlatih bersama kesemua rakan sepasukan dan menikmati bola sepak.

"Inilah yang kami semua gemari, sesi latihan yang membenarkan kami dapat menikmati bola sepak bersama-sama. Kami berlatih untuk mencuba dan terus meningkatkan permainan bagi menghadapi perlawanan pertama yang akan bersambung musim ini.

"Bola sepak terdiri daripada beberapa faktor, iaitu fizikal yang merupakan aspek paling penting selain mental. Kombinasi kedua-duanya membolehkan kami menghadapi saingan liga dengan baik."

Menurut Marca, Presiden Madrid, Florentino Perez, telah memaklumkan kepada ahli kelab itu bahawa mereka akan beraksi di Estadio Alfredo Di Stefano -- pangkalan latihan mereka di Valdebebas -- bagi membolehkan kerja pengubahsuaian di Santiago Bernabeu dimulakan.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen