Lucas Vazquez menyifatkan menandatangani kontrak baharu bersama Real Madrid merupakan pencapaian terbesarnya bersama kelab itu.

Pemain Sepanyol itu bersetuju dengan kontrak baharu pada Khamis, sekaligus menyaksikan dia akan kekal sehingga tahun 2021, selepas berjaya menyertai skuad utama musim lalu.

Vazquez turut beraksi ketika Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada Mei, dengan menyempurnakan sepakan penalti berdepan Atletico Madrid dalam final.

"Saya sangat gembira," katanya kepada media.

"Sejak tahun 2007, saya mengimpikan untuk menyarung jersi kelab ini dan mewakili skuad utama.

"Bukan mudah untuk saya tetapi saya gembira dapat berada di sini. Saya harap dapat meneruskan perjalanan ini untuk menjadi pemain yang terbaik."

Pemain berusia 25 tahun itu hanya membuat satu penampilan dalam kesebelasan utama dalam La Liga musim ini.