ROMA 0 REAL MADRID 2

Marcos Llorente mempamerkan aksi "memukau" dalam kemenangan 2-0 Real Madrid di Roma, menurut rakan sepasukan, Lucas Vazquez.


Llorente diberi aksi sulung dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) oleh pengurus, Santiago Solari, untuk mengisi tempat pemain antarabangsa Brazil yang tercedera, Casemiro.

Pemain berusia 23 tahun itu memberikan prestasi matang di bahagian tengah Madrid yang menyaksikan jaringan babak kedua terhasil menerusi Gareth Bale dan Vazquez untuk menjamin kemenangan mereka di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.

Llorente menyempurnakan 91.1 peratus hantarannya, kadar ketepatan yang lebih tinggi melebihi rakan sepasukannya seperti Luka Modric, justeru Vazquez memuji tinggi produk akademi kelab berkenaan.

"Llorente telah mempamerkan aksi yang hebat," kata Vazquez selepas menjaringkan gol pertamanya musim ini.

"Ia tidak mudah dalam perlawanan ini, personalitinya baik dan menunjukkan keghairahan yang baik. Kami sangat gembira dengannya.

"Perlawanan akan menjadi semakin sukar. Pertembungan ini sangat sengit dan boleh dimenangi oleh sesiapa sahaja. Jaringan pertama menyuntik keyakinan kami."

Juara bertahan UCL itu bangkit daripada kekalahan 0-3 di Eibar dalam aksi terakhir sejurus pelantikan Solari sebagai pengurus tetap.

"Yang penting adalah kami bangkit secara sensasi selepas aksi yang sangat buruk di Eibar," tambah Vazquez.

"Saya fikir kami telah beraksi dengan baik, kami telah bermain sebagai sebuah pasukan yang menyerang dan bertahan.

"Saya sangat gembira dengan gol ini. Saya benar-benar mahu mencetak gol untuk mendedikasikannya kepada anak saya."

Kemenangan itu mengesahkan Real Madrid sebagai juara Kumpulan G dan akan ditemani Roma ke pusingan kalah mati.