Isco beraksi seperti seorang pemain bola sepak yang beraksi di jalanan dan perkara itu disuarakan sendiri oleh rakan sepasukannya di Real Madrid, Lucas Vazquez.

Isco membantu skuad Los Blancos membenam cabaran Getafe 2-1 apabila masuk menggantikan Vazquez dalam babak kedua sebelum hantarannya membolehkan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Selepas lapan perlawanan, bintang Sepanyol itu telah menjaringkan dua gol buat Madrid dalam saingan LaLiga musim ini.

Vazquez tidak menyembunyikan rasa kagumnya terhadap Isco sambil menyifatkan corak permainan yang ditampilkan Isco membuatkan seluruh pasukan gembira.

"Isco tidak menyembunyikan siapa dirinya dan corak bola sepak yang ditampilkan datang dari jalanan.

"Caranya memegang bola menunjukkan ia datang daripada dalam dirinya dan sudah tentu saya berbangga dapat beraksi bersamanya.

"Dia kini berada di tahap terbaik dan diharapkan ia akan kekal dalam tempoh yang lama," ujar Vazquez.

Selepas menewaskan Getafe, skuad kendalian Zinedine Zidane kini menduduki tangga kedua liga dengan 17 mata, lima mata di belakang pendahulu, Barcelona.