Pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, menamakan pengendali pasukan, Zinedine Zidane, sebagai faktor utama buatnya untuk kekal bersama juara bertahan LaLiga itu.

Pertahanan Perancis itu baru-baru ini menandatangani kontrak baru bersama skuad Los Blancos, sekaligus bakal menyaksikannya berada di Santiago Bernabeu sehingga tahun 2022.

Selepas memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selama dua musim berturut-turut di bawah bimbingan Zidane, Varane menyifatkan bekas penasihat dan ketua jurulatih Real Madrid Castilla itu memainkan peranan utama ketika dia menyertai Madrid dari Lens dan kini bersedia untuk terus berkhidmat buatnya.

“Zidane memainkan peranan utama ketika saya tiba di sini dan kini dia adalah jurulatih yang membantu saya pada setiap hari,” kata Varane.

“Saya berterima kasih kepadanya atas segala sokongan dan keyakinan yang diberikan. Dia memberikan saya banyak nasihat dan merupakan individu yang dihormati.

"Saya mempelajari pelbagai perkara di sini. Setiap musim merupakan satu cabaran dan kini saya lebih sempurna kerana telah belajar di peringkat tertinggi dalam setiap sesi latihan.

“Saya menganggap Madrid sebagai tempat asal saya kerana tiba di sini dalam usia yang muda tetapi dalam masa sama tidak akan melupakan waktu saya di Lens. Ia membuatkan saya berasa bangga.”

Dalam masa sama, Varane juga mengakui kehebatan Cristiano Ronaldo selepas pemenang Ballon d’Or itu menamatkan kemarau jaringan dalam dua perlawanan dengan mencatat dua gol ketika menentang Borussia Dortmund.

“Bagi saya, anda akan meminatinya berdasarkan apa yang telah dilakukan dan apa yang dia bakal terus lakukan. Statistik yang ditunjukkan membuktikan kehebatannya,” tambah Varane.