Pemain pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, telah menandatangani kontrak baru bersama skuad Los Blancos.

Perjanjian baru itu menyaksikan pertahanan Perancis itu bakal kekal bersama skuad kendalian Zinedine Zidane sehingga tahun 2022.

Varane muncul sebagai nadi utama juara Eropah itu pada musim lalu apabila mengemudi barisan pertahanan Madrid bersama-sama ketua pasukan, Sergio Ramos.

Walaupun terlepas tiga aksi pertama liga pada musim ini akibat kecederaan otot, dia mula menyertai kesebelasan utama pasukan selepas pulih, termasuk ketika Madrid menewaskan Borussia Dortmund 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Selasa lalu.

"Real Madrid dan Varane telah bersetuju untuk memperbaharui kontrak pemain dari Perancis itu, menyaksikannya bakal bersama pasukan sehingga 30 Jun 2022," kata kenyataan kelab menerusi laman web rasminya.

Sejak tiba dari Lens pada 2011, dia telah melakukan 196 penampilan bersama Los Blancos dan memiliki tiga kejuaraan UCL, dua kali memenangi LaLiga, menjuarai Piala Dunia Kelab sebanyak dua kali serta tiga kali muncul sebagai pemenang Piala Super Eropah.

Kontrak baru itu juga menyaksikan Varane mengikut jejak langkah Marcelo, Isco, Dani Carvajal, Karim Benzema dan Marcos Llorente yang turut memperbaharui kontrak, baru-baru ini.