Pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, mendakwa pasukannya mempunyai masalah kolektif selepas tewas mengejut 0-3 di tangan Eibar dalam saingan LaLiga, semalam.

Jaringan dalam babak pertama oleh Gonzalo Escalante memberikan pendahuluan awal buat skuad bimbingan Jose Luis Mendilibar itu di laman sendiri sebelum Sergi Enrich dan Kike Garcia melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Kekalahan itu memberikan permulaan buruk buat Santiago Solari dalam aksi pertama di tempat lawan sejak dilantik selaku pengendali tetap Los Blancos.

Namun, Varane mendedahkan masalah yang membawa kepada pemecatan Julen Lopetegui selepas empat bulan memegang jawatan pengurus.

"Eibar memainkan corak permainan mereka, melakukan hantaran jauh dan memenangi perebutan bola kedua," kata Varane.

"Ia adalah masalah kolektif. Kini kami perlu bersatu dan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya. Kami harus meningkat."

Madrid kini menduduki tangga keenam liga, hanya dua mata mengatasi Eibar dan berkemungkinan turun ke tangga kesembilan hujung minggu ini.