Virgil van Dijk menegaskan Liverpool tidak berasakan tidak mampu ditewaskan di sebalik prestasi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool memastikan kemenangan ke-22 daripada 23 perlawanan liga musim ini apabila mengatasi Wolves 2-1 kelmarin.

Tetapi Van Dijk memberikan amaran pasukannya masih lagi dalam pembikinan di sebalik mendahului saingan dengan berkelebihan 16 mata di puncak liga.

"Anda tidak pernah rasa tidak boleh ditewaskan -- ia bukan sesuatu yang kami miliki," kata pertahanan kebangsaan Belanda itu.

"Segalanya boleh terjadi. Terdapat beberapa situasi ketika berdepan Wolves yang mampu memihak mereka.

"Mereka berpeluang untuk menjaringkan gol kedua. Kami sentiasa berikhtiar untuk berusaha keras.

"Liverpool akan cuba untuk memperbaiki lagi mutu persembahan. Segalaya berjalan dengan baik dan setiap pemain berada dalam situasi yang baik."

Van Dijk menikmati satu lagi musim cemerlang bersama Liverpool, dengan gandingannya bersama Joe Gomez menjadi kunci pertahanan The Reds.

Gomez terlibat dalam pertelingkahan dengan rakan sepasukan England, Raheem Sterling, November lalu dan Van Dijk berkata dia sentiasa menawarkan sokongan kepada pemain berusia 22 tahun itu.

"Sememangnya saya sentiasa bercakap dengan Gomez dan mahu membantunya," katanya lagi.

"Saya sangat kagum dengan dirinya. Kami dapat melihat musim lalu sebelum dia mengalami kecederaan, dia mampu menawarkan permainan yang berkualiti."

Liverpool akan berkunjung ke Shrewsbury Town dalam pusingan keempat Piala FA esok.




Editor: Ammar Hakim