Van Dijk patut dapat kad merah -- Ancelotti

Oleh Staff Writer 12 Disember 2018 1741
Van Dijk patut dapat kad merah -- Ancelotti
Pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, kecewa dengan ketiadaan Video Bantuan Pengadil (VAR) sambil meluahkan pandangan bahawa Virgil van Dijk sepatutnya dibuang padang ekoran terjahannya terhadap Dries Mertens ketika Liverpool menang di Anfield untuk melolosi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi. 

Ketua pasukan Belanda, Van Dijk, dilayangkan kad kuning pada minit ke-13 dalam kemenangan 1-0 The Reds di Anfield selepas butnya terkena pergelangan kaki Mertens ketika pertahanan itu cuba mengeluarkan bola.

Van Dijk mendakwa dia telah membuat terjahan bersih, sebaliknya Ancelotti berhujah bahawa pemain itu bernasib baik untuk kekal di padang.

"Saya sudah melihat rakamannya, saya fikir ia adalah kad merah," kata pengurus berbangsa Itali itu.

"Terdapat banyak persoalan mengenai VAR. Apabila VAR mula diperkenalkan dalam UCL, ia sudah terlambat."

Jaringan Mohamed Salah dalam babak pertama membolehkan Liverpool mengatasi Napoli untuk kedudukan kedua di peringkat kumpulan. 

Sehubungan itu, Napoli terpaksa beraksi dalam Liga Europa biarpun mengumpul sembilan mata di peringkat kumpulan.

Keputusan seri sebenarnya sudah cukup untuk Napoli memastikan kemaraan selepas mereka menewaskan lawan yang sama di Itali, namun peluang jarak dekat yang dimiliki Arkadiusz Milik dinafikan penjaga gol, Alisson. 

"Kami tahu Liverpool akan memberikan kami lebih banyak tekanan, mereka sangat agresif," tambah Ancelotti.

"Ia adalah sesuatu yang kami rancangkan. Kami tahu keamatan akan jauh berbeza berbanding pertembungan pertama. Ia sesuatu yang kami harus cuba dan atasi. 

"Anda tidak boleh bertandang ke gelanggang seperti di Liverpool ini dengan berharap dapat mencipta 10 peluang yang sangat baik. 

"Kami mencipta satu atau dua peluang tetapi kami juga memerlukan nasib," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen