BELARUS 1 BELANDA 2

Virgil Van Dijk mengakui Belanda dalam keadaan terdesak selepas mereka terpaksa bergantung kepada jaringan Georginio Wijnaldum untuk meraih kemenangan tipis ke atas Belarus, awal pagi tadi.


Kemenangan 2-1 di Minsk itu meletakkan Belanda di landasan terbaik untuk layak ke Euro 2020 sebagai menamatkan penantian untuk layak ke kejohanan utama.

Selepas terlepas Euro 2016 dan Piala Dunia tahun lalu, Belanda akhirnya kembali menemui sentuhan di bawah kendalian Ronald Koeman.

Rakan sepasukan Van Dijk di Liverpool, Wijnaldum, menjaringkan kedua-dua gol buat Belanda dengan menanduk masuk jaringan pembukaan sebelum rembatan jarak jauhnya memberikan pendahuluan 2-0 sebelum rehat.

Wijnaldum kemudian berkata jaringan keduanya itu merupakan yang terbaik dalam 15 gol yang telah dihasilkan buat negaranya.

Namun, Belanda tampak goyah selepas rehat, menyaksikan gawang dibolosi apabila kapten, Van Dijk, melakukan kesilapan membiarkan Stanislav Dragun menanduk masuk jaringan sebelum membuka ruang buat beberapa peluang selepas itu.

"Babak kedua tidak begitu baik. Kami banyak kehilangan bola di kawasan tengah sehingga membolehkan lawan melakukan serangan balas. Mereka tidak begitu bahaya tetapi kami harus tampil lebih baik. Kami perlu melihat diri sendiri di dalam cermin.

"Kami mahu pergi ke Kejohahan Eropah. Seluruh skuad Belanda mengejar impian itu, termasuk pemain. Kami semakin hampir tetapi perlu meneliti persembahan dalam babak kedua dan memperbaikinya dalam tempoh rehat antarabangsa yang seterusnya."