Virgil van Dijk mengakui dia harus "menghormati keunggulan" selepas diketepikan oleh Lionel Messi yang memenangi Ballon d'Or 2019.

Penyerang Barcelona dan Argentina, Messi, meraih gelaran itu buat kali keenam selepas menjaringkan 41 gol dalam 44 penampilan buat Barcelona, yang meraih gelaran LaLiga ke-10 musim lalu.

Kejayaan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) tidak cukup buat Van Dijk, yang membantu Liverpool menyingkirkan Barcelona dalam separuh akhir sebelum bergelar juara Eropah buat kali keenam.

Prestasi Van Dijk buat The Reds dalam pertandingan itu, yang diikuti kejayaan melangkah ke final Liga Negara-Negara UEFA, memastikan dia berada di tangga kedua dalam undian untuk merebut Ballon d'Or, namun dia tidak memiliki sebarang kekesalan apabila diatasi Messi.

"Ia amat menakjubkan," kata Van Dijk mengenai persembahannya sepanjang 2019.

"Malangnya, saya berasakan terdapat beberapa pemain yang luar biasa.

"Mereka amat hebat. Enam gelaran Ballon d'Or, anda harus menghormati keunggulan itu. Saya hampir mencapainya tetapi terdapat seseorang yang jauh lebih berhak memenangi Bola Emas itu.

"Saya sangat berbangga dengan apa yang dicapai tahun lalu bersama Liverpool, Belanda dan berharap untuk melakukannya sekali lagi tahun ini.

"Ia bakal menjadi cabaran yang sukar buat kami selagi hadirnya pemain-pemain seperti Messi."