Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, berkata Napoli akan menjadi lawan yang berbahaya dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam undian di Nyon semalam, The Catalans diundi menentang kelab Serie A itu tatkala aksi pertama akan diadakan di San Paolo, 25 Februari depan.

Napoli melalui musim yang sukar di peringkat domestik apabila menduduki tangga kelapan liga dan ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu, Inter Milan dan Juventus, selepas tewas 2-1 di tangan Parma di laman sendiri Sabtu lalu.

Walaupun mengharungi keputusan buruk dalam liga sehingga menyebabkan Carlo Ancelotti dipecat daripada jawatan pengurus dan melantik Gennaro Gattuso, Napoli menamatkan saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara tanpa sebarang kekalahan dan muncul pasukan tunggal yang menundukkan Liverpool dalam semua kejohanan musim ini.

Valverde percaya Barca perlu berada di tahap terbaik jika mahu meneruskan kemaraan ke suku akhir walaupun pasukan kendaliannya itu menewaskan lawan sama 4-0 dalam aksi pramusim.

"Napoli adalah pasukan berbahaya," katanya.

"Jelas sekali mereka tidak melalui detik terbaik. Mereka menukar pengurus dan perlu menyesuaikan diri.

"Kami akan lihat mereka yang sebenar dan menuju ke bulan Februari tetapi tanpa ragu, kami perlu bersedia.

"Ia persekitaran yang ampuh dengan stadium besar sambil mereka sangat rapat dengan penyokong. Namun, tidak mengapa. Kami sudah biasa beraksi dalam keadaan sebegitu dan ia sesuatu yang indah untuk menikmati pengalaman itu secara umum di Napoli."

Sementara itu, Gattuso berjanji akan memastikan anak buahnya cukup bersedia untuk menghadapi aksi itu.

"Barca adalah pasukan hebat dan ia akan menjadi cabaran yang besar dalam dua perlawanan. Namun, kami tidak gentar," katanya.