Ernesto Valverde tidak mahu melihat mana-mana pengurus dipecat selepas Barcelona merakamkan kemenangan besar 5-1 ke atas Real Madrid yang dibimbing Julen Lopetegui.

Barca mendominasi pertembungan 'El Clasico' awal pagi tadi yang meletakkan Lopetegui lebih dekat dengan pemecatan selepas seminggu masa depannya menjadi buah mulut.

Bagaimanapun, tatkala Valverde meraih kemenangan besar yang diilhamkan oleh hatrik Luis Suarez, beliau gusar dengan nasib rakan sejawatannya di Madrid itu.

"Saya tahu betapa sukar keadaannya ketika keputusan tidak memihak kepada anda," kata Valverde. "Semuanya akan menjurus kepada pengurus. Itulah yang berlaku dalam bola sepak. Saya meletakkan diri saya di dalam situasinya dan saya tahu beliau mengalami kesukaran.

"Apa yang berlaku kepada (Lopetegui) boleh terjadi kepada saya dalam tempoh tiga minggu ini. Sebagai jurulatih, inilah yang kami hadapi. Saya harapkan yang terbaik daripada beliau.

"Saya tidak mahu mengulas sama ada beliau layak dipecat atau tidak, saya tidak suka melihat mana-mana jurulatih dipecat. Bukan Lopetegui, bukan jurulatih Huesca, bukan jurulatih Granada dan tentu saja bukan jurulatih Barca."

Valverde mengelak daripada membuat kesimpulan terlalu banyak di peringkat awal musim ini sambil merujuk kepada prestasi buruk Barca dalam Supercopa de Espana sebelum menawan gelaran LaLiga.

Ditanya adakah gelaran juara di luar jangkauan Madrid, beliau menjawab: "Sudah tentu tidak, ini baru hanya perlawanan ke-10.

"Mereka tidak akan membuat kesilapan yang sama seperti tahun lalu, seolah-olah selepas memenangi Supercopa, segalanya dalam kawalan mereka."

Enggan terbawa-bawa, Valverde menambah: "Setiap minggu ada tiga perlawanan. Akan berlaku apabila semuanya berjalan dengan baik dalam tempoh beberapa minggu seperti ini dan pada suatu ketika yang lain, atas alasan apa pun, anda tidak mampu menang.

"Minggu-minggu tanpa kemenangan adalah bencana. Terdapat dua jenis minggu dan kami mesti tenang."