Pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, menyeru pasukannya supaya bertenang apabila membuat perjalanan awal ke Eibar bagi mengelakkan protes di bandar mereka sendiri.

Keganasan tercetus di Barcelona awal minggu ini susulan hukuman penjara dalam tempoh yang lama buat sembilan pemimpin politik Catalan yang memainkan peranan mereka dalam referendum 2017 bagi menuntut kemerdekaan.

Lapangan terbang utama Barcelona terpaksa ditutup Selasa lalu ekoran ketegangan itu sehingga mendorong pegawai liga Sepanyol menyarankan agar pertembungan 'El Clasico' di antara Barca dan Real Madrid minggu depan dipindahkan dari Camp Nou ke Santiago Bernabeu.

Perkembangan perlawanan itu menguasai sidang media semalam menjelang perlawanan menentang Eibar esok.

Ia timbul selepas juara bertahan itu melakukan perjalanan ke wilayah Basque itu semalam, bukannya seperti kebiasaannya hari ini.

"Esok mungkin berlaku protes di Barcelona," katanya.

"Mungkin akan timbul masalah dalam perjalanan dan kami pula perlu berada di sana untuk menghadapi perlawanan. Jadi, kami fikir ini adalah pilihan terbaik."

Valverde membesar di rantau Basque dengan mewakili Athletic Bilbao selama enam tahun.

Dia tidak asing dengan iklim politik yang tegang tetapi mengenai peristiwa di Catalonia itu, dia berkata: "Saya tidak mahu membincangkan perkara yang sedang berlaku ini terlalu mendalam. Isu-isu ini telah berlarutan selama bertahun-tahun.

"Apa yang berlaku baru-baru ini bukan satu perkara biasa, kami mahu orang ramai mempunyai kebebasan bersuara di tahap maksimum.

"Setiap orang perlu menghormati satu sama lain tetapi mungkin ia tidak berlaku beberapa hari yang lalu."

Tambahnya: "Buat masa ini, saya fikir sesuatu perlu dilakukan dalam dunia politik supaya ada sikap saling menghormati. Jelas sekali ada perkara-perkara yang tidak enak untuk dilihat dan kami berharap itu sahaja satu-satunya perkara yang berlaku, cukuplah setakat itu sahaja."

Valverde akan berasa lebih selesa apabila Barcelona berada di luar bandar bekenaan agar dia boleh memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Eibar, satu lagi perlawanan penting buat kelab itu selepas prestasi terumbang-ambing musim ini.

Mereka menduduki tangga kedua LaLiga, dua mata di belakang Real Madrid, tetapi beberapa kali bergelut dalam lapan aksi pembukaan dengan mengalami dua kekalahan.

Justeru, dia berkata: "Perlawanan ini mustahak kerana kami tidak berada di puncak liga, kami memerlukan tiga mata.

"Kami berdepan kesukaran dan kami bertindak balas dengan baik. Kadang-kadang kami tidak bermain dengan baik tetapi menang pula. Saya menjangkakan pemain akan bertindak balas dan itulah yang kami lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami mahu berada di tempat pertama tetapi kami gagal kerana kami telah tersandung dalam beberapa perlawanan."

Pengurus itu juga berharap perlawanan 'El Clasico' dapat diteruskan di Nou Camp dengan berkata: "Kita perlu menghormati kalendar dan peminat."