Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, menawarkan tiada jaminan mengenai masa depan Javier Mascherano tetapi menyatakan pemain veteran itu komited bersama gergasi LaLiga berkenaan.

Mascherano telah dikaitkan dengan perpindahan ke China, Januari ini, selepas sekadar membuat enam penampilan bersama Barca, musim ini.

Valverde memuji komitmen yang dipamerkan oleh pemain kebangsaan Argentina itu tetapi menyatakan masa depannya akan dibincangkan.

"Jendela perpindahan musim sejuk masih belum tiba, kami akan menunggu hingga ia dibuka. Buat masa ini, Mascherano masih milik Barca dan setiap kali dia diturunkan, dia bermain dengan baik.

"Ramai pemain yang menghormatinya dalam bilik persalinan dan peranannya sangat besar kepada pasukan," katanya.

Mascherano berhijrah ke Barca dari Liverpool pada 2010 dan telah memenangi empat kejuaraan LaLiga dan dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL) serta beberapa trofi lain.

Valverde, bagaimanapun, enggan bercakap terlalu banyak mengenai perancangan pasukannya untuk Januari ini.

"Ini merupakan soalan-soalan yang tidak boleh dibincangkan. Apa yang kami akan lakukan adalah memperkuatkan jentera pasukan kami," katanya lagi.