BARCELONA 2 CELTA VIGO 0

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, sedar pasukannya mempunyai ruang untuk diperbaiki walaupun menamatkan tahun ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Celta Vigo, awal pagi tadi.


Kemenangan itu turut menyaksikan mereka kembali ke kedudukan teratas LaLiga dengan kelebihan tiga mata.

Gol daripada Ousmane Dembele dan Lionel Messi dalam babak pertama memastikan kemenangan mereka di Camp Nou.

Mereka kembali memintas Atletico Madrid yang terlebih dahulu menewaskan Espanyol 1-0, malam tadi.

"Objektif kami adalah untuk menamatkan tahun ini sebagai pendahulu liga dan kami gembira kerana berjaya melakukannya," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

Bagaimanapun, pengendali itu sedar akan aksi hambar yang dipamerkan pasukannya dalam babak kedua sehingga Celta memperoleh 55 peratus penguasaan permainan.

"Apa yang memuaskan hati saya adalah kami menguasai babak pertama dengan beberapa peluang berjaya disudahkan.

"Cara paling mudah untuk meraih kemenangan adalah dengan tidak dibolosi.

"Namun itu bukanlah cara kami.

"Kami perlu menjaringkan gol tanpa menghiraukan keadaan bahaya," katanya.

Valverde turut memuji aksi yang dipamerkan Dembele dengan berkata: "Dia seorang pemain yang berkerja keras dan menghasilkan gol.

"Kami mengharapkan sesuatu yang lebih besar daripadanya.

"Kami berharap dia akan terus membuat keputusan yang baik," tambahnya.

Valverde turut mengesahkan barisan pemainnya diberikan cuti rehat seminggu sehingga sesi latihan kembali dijalankan, Ahad depan.

Saingan LaLiga akan bersambung pada 6 Januari ini dengan Barca akan bertandang ke laman Getafe.