Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, memuji persembahan cemerlang dipamerkan Luis Suarez selepas penyerang itu menyumbat gol ketika mengatasi Rayo Vallecano.

Suarez mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lionel Messi ekoran kecederaan dan dua jaringannya membantu Barca meraih kemenangan 3-2 dalam saingan LaLiga, kelmarin.

Pemain kebangsaan Uruguay itu menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan di samping mendahului carta penjaring terbanyak LaLiga dengan sembilan gol.

Valverde berkata bekas bintang Liverpool itu masih lagi berada di kemuncak prestasinya.

"Luis Suarez telah bermain pada prestasi yang tertinggi dalam tempoh yang sangat panjang," katanya.

"Buat masa ini, dia menjaringkan gol, lebih banyak berbanding sebelum ini. Kami memerlukan Suarez dan sangat gembira dengan persembahannya."

Barca ketinggalan 2-1 hingga minit ke-87 apabila Ousmane Dembele menyamakan kedudukan sebelum Suarez bertindak meledak gol kemenangan.