Valverde puji impak dibawa Dembele

Oleh Staff Writer 3 Disember 2018 114
Valverde puji impak dibawa Dembele
BARCELONA 2 VILLARREAL  0

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, meletakkan pujian tertinggi terhadap prestasi yang dipamerkan Ousmane Dembele ketika pasukannya itu menewaskan Villarreal 2-0 dalam saingan LaLiga, awal pagi tadi.


Kemenangan itu melonjakkan Barca ke tangga teratas liga selepas Sevilla sekadar terikat 1-1 dengan Deportivo Alaves.

Dembele -- yang sebelum ini dilaporkan mempunyai masalah sikap -- mencuri tumpuan dengan kerap kali membelah pertahanan lawan menerusi kawalan bola dan kemahiran individu yang tinggi.

Dia bertanggungjawab sebagai pencetus kepada jaringan pembukaan Barca yang disudahkan tandukan Gerard Pique pada minit ke-36.

Carles Arena memastikan kemenangan Barca menerusi gol liga pertamanya bersama pasukan itu, namun Valverde lebih menumpukan kepada aksi menarik yang dipamerkan Dembele.

"Dia merupakan pemain yang paling menonjol dalam perlawanan itu.

"Dia memaparkan pelbagai aksi menarik dan kami menjangkakan perkara itu akan kekal dalam perlawanan-perlawanan hebat selepas ini.

"Apa yang mencuri tumpuan adalah kelajuan, gelecekan, rembatan dan usahanya mengubah rentak permainan," katanya dalam sidang media.

Barca dipaksa berusaha keras sepanjang perlawanan dan Valverde percaya pasukannya perlu memperbaiki prestasi ketika kehilangan penguasaan.

"Dalam babak kedua, kami menderita kerana tidak dapat menguasai perlawanan.

"Mereka semakin kuat dan kami perlu menyusun strategi agar mereka tidak dapat melakukan serangan berbahaya.

"Saya tidak berpuas hati apabila kami kehilangan bola," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen