OLYMPIACOS 0 BARCELONA 0

Jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde, berasakan pasukannya membuat "langkah ke hadapan" sekalipun kecewa pasukannya seri 0-0 dengan Olympiacos dalam Liga Juara-Juara Eropah di Greece, awal pagi tadi.


Pemimpin LaLiga itu gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sejak 2012.

Pun begitu, Barcelona mengekalkan kelebihan tiga mata di puncak Kumpulan D memandangkan Juventus turut terikat 1-1 menentang Sporting CP.

Valverde memuji pemainnya di atas usaha mereka walaupun gagal mendapat keputusan seperti yang diharapkan.

"Kami tidak memperoleh gol, kami cuba mendekati kawasan mereka dengan menguasai perlawanan," katanya.

"Tetapi mereka melakukan tugas dengan baik ketika bertahan dan cuba membuat serangan balas, didorong oleh peminat mereka.

"Anda dapat lihat apa yang menakjubkan di sini. Kami mahu mendapatkan kelayakan ke pusingan seterusnya tetapi gagal.

"Kami masih melangkah ke hadapan tetapi keputusan perlawanan bukan seperti kami mahukan. Pemain-pemain telah melakukan segala-galanya," katanya.

Pertembungan tersebut menandakan kepulangan semula Valvarde ke bekas kelabnya itu, yang dibimbing dalam dua tempoh pada 2008-09 dan 2010-12.

Walaupun berada di pihak lawan, Valverde memuji penyokong fanatik Olympiacos.

"Jawapan kepada segala-galanya adalah bagaimana lawan kita bermain, mereka bertahan dengan ketat sebagai satu unit. Kami menentang lawan yang melakukan tugas mereka dengan baik dari awal hingga akhir," katanya.

"Saya selalu merasai suasana ini dan hari ini ia menentang saya. Saya tahu apa makna Liga Juara-Juara kepada peminat-peminat ini kerana saya mengalaminya sendiri banyak kali.

"Ia mungkin menjadi satu kejutan kepada individu yang datang dari Barcelona. Semua tahu betapa hebatnya sokongan bola sepak Greece. Ia luar biasa. Sangat menarik," tambahnya.