Ernesto Valverde memuji aksi anak buahnya yang berjaya mengekang keteguhan skuad Sporting Lisbon sebelum menewaskan wakil Portugal itu 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Jose Alvalade, awal pagi tadi.

Barcelona gagal mempamerkan aksi terbaik sehingga terpaksa menunggu sehingga Sebastian Coates menjaringkan gol sendiri sebelum tamat babak pertama untuk meraih kemenangan.

Kemenangan itu meletakkan Barca di tangga pertama Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata mengatasi Sporting dan Juventus, sekaligus membuatkan pengurus Barca, Valverde, berasa lega.

"Jika anda mahu memenangi perlawanan besar, anda perlu mengharungi aksi sebegini.

"Kami bermain dengan sepenuh hati dan menguasai sebahagian besar babak pertama. Apabila mendahului 1-0, Sporting mula menunjukkan taring dan membuatkan kami sentiasa bekerja keras untuk mengekang setiap asakan.

"Ini adalah UCL dan ia tidak akan menjadi mudah," kata Valverde.

Sporting bakal menentang Juventus dalam masa tiga minggu lagi, namun Valverde menyifatkan pasukan itu mempunyai kemampuan untuk mara daripada kumpulan yang sukar.

"Mereka masih salah satu pencabar utama dan mampu untuk layak.

"Mereka akan menentang Juve selepas ini tetapi tiada apa yang boleh dijanjikan. Sporting memiliki pemain yang berada di peringkat tertinggi serta mempunyai mentaliti yang sangat kuat.

"Mereka juga memiliki pengurus yang hebat."

Pengendali Sporting Lisbon, Jorge Jesus, percaya bahawa pasukannya telah membuka mata gergasi Eropah yang lain.

"Semasa rehat, saya memberitahu semua pemain bahawa kami mampu menewaskan Barca. Saya rasa saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk menang, malangnya kami tewas hasil daripada jaringan sendiri.

"Menentang pasukan kedua terbaik di dunia, kami beraksi dengan baik. Kami berjaya menutup ruang untuk lawan melakukan sebarang hantaran dalam babak pertama dan separuh masa kedua menyaksikan kami menguasai perlawanan," ujar Jesus.