Valverde laung kepentingan Messi

Oleh Staff Writer 2 Disember 2019 100
Valverde laung kepentingan Messi
Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berkata mempunyai Lionel Messi sentiasa memberikan kelebihan selepas persembahan hebatnya sewaktu menentang Atletico Madrid awal pagi tadi.

Messi menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-86 untuk menundukkan Atletico 1-0, sekali gus kembali ke puncak liga.

Barca tidak menampilkan persembahan terbaik ketika menentang Atletico di Wanda Metropolitano tetapi detik memukau daripada Messi memastikan juara bertahan itu memintas Real Madrid dalam carta LaLiga.

Ditanya mengenai pemenang lima kali Ballon d'Or itu, Valverde memberitahu: "Dalam perlawanan yang sangat sukar, kelebihan sentiasa ada dengan Messi."

Tatkala Barca terpaksa mengikut rentak permainan Atletico dalam hampir keseluruhan perlawanan di Madrid, Valverde gembira dengan pasukannya itu.

"Saya sukakan segalanya. Kami bergelut di permulaan dan meraih tiga mata," tambahnya.

"Kami tidak perlu fikirkan perkara buruk ketika ini.

"Anda perlu bergelut di sini tetapi kami menang dan mengutip tiga mata penting. Itu paling penting.

"Kami memang menjangkakan permulaan itu daripada Atletico. Kami perlu kuat dalam 20 minit pertama. Mereka memberikan masalah dalam setiap serangan.

"Selepas beberapa ketika, kami lebih terkawal dan kedua-dua pasukan memiliki peluang terbuka. Kami beraksi lebih baik dalam babak kedua."

Valverde juga tenang dengan situasi kecederaan yang dialami Gerard Pique selepas dia terpaksa dibawa keluar ketika permainan berbaki tujuh minit.

"Saya rasa dia dalam keadaan baik. Dia boleh terus bermain tetapi lebih baik untuk tidak mengambil risiko."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen