Jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde, tidak gembira melihat Mateo Kovacic dalam kesebelasan utama Real Madrid berbanding Isco dalam kemenangan 3-0 dalam pertembungan El Clasico di peringkat LaLiga, malam tadi.

Skuad Blaugrana membuktikan kejaguhan mereka di Santiago Bernabeu, dengan Luis Suarez menyumbat gol pembukaan sebelum Lionel Messi menggandakan gol daripada sepakan penalti sehingga Dani Carvajal dibuang padang ketika cuba mengekangnya.

Aleix Vidal menambah jaringan ketiga untuk Barca memenangi tiga perlawanan LaLiga berturut-turut ke atas Madrid buat pertama kali dalam sejarah.

Pemilihan Kovacic berbanding Isco menimbulkan kehairanan mengenai pendekatan itu, sehingga mendorong Zidane untuk menjelaskan bahawa pemain antarabangsa Croatia itu dipilih untuk tugas merantai Messi.

Begitupun, bagi Valverde, percaturan itu tidak memberi apa-apa makna kerana Kovacic telah membuktikan kemampuannya dalam kemenangan Supercopa de Espana ke atas Barca.

Sama ada dia gembira dengan pilihan mengetengahkan Kovacic, kata Valverde dalam sidang media perlawanan: "Tidak, saya tidak mempunyai fakta mengenai pasukan Real Madrid untuk memutuskan kesebelasan utama mereka.

"Saya membuat pilihan saya, begitu juga dia (Zidane). Kovacic telah bermain dengan sangat baik dalam kedua-dua perlawanan Supercopa dan merupakan pemain hebat, jadi saya khuatir dengan kualiti yang dimilikinya kerana dia pemain yang hebat."

Barca kini 14 mata di hadapan Madrid, namun aksi awal permainan tidak memberikan bayangan kejayaan mudah akan diraih mereka di ibu kota Sepanyol itu.

"Memang benar mereka bermula dengan tekanan tinggi pada permulaan permainan. Kami sudah menjangkakannya memandangkan mereka memperkuatkan bahagian tengah," tambah Valverde.

"Mereka tidak membenarkan kami bermain dengan mudah dan kami perlu bermain hantaran jauh. Kami tidak dapat menerapkan permainan kami dan sukar untuk melepasi tekanan pertama.

"Kami bergelut untuk melepasi garisan itu, kami mempunyai peluang sepertimana mereka, tetapi permainan berlangsung dengan corak terbuka. Mereka sangat berbahaya dalam serangan balas dan kami juga mempunyai peluang untuk mencetak gol.

"Ini soal kerja keras dan kami dapat mengawal permainan pada babak kedua dengan lebih dekat di pintu gol mereka, dengan peluang lebih banyak dan akhirnya mencetak gol."