Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, tidak menyembunyikan kekecewaan terhadap ketumpulan penyudah di depan gawang lawan apabila tewas buat kali pertama selepas 30 perlawanan di tangan Espanyol, awal pagi tadi.

Barca tewas 0-1 dalam aksi pertama peringkat suku akhir Piala Raja Sepanyol di tempat lawan dalam perlawanan yang menyaksikan Lionel Messi gagal mencetak jaringan walaupun dianugerahkan sepakan penalti.

Valverde percaya kegagalan pemain-pemainnya membuat keputusan tepat di depan gol membuat mereka terpaksa menanggung kekalahan itu sambil menyifatkan kesilapan pemain Argentina itu menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain serta penyokong-penyokong Espanyol.

"Selain daripada situasi di atas padang, kadangkala anda terpaksa menanggung kesan daripada persekitaran di stadium.

"Lawan menggunakan pendekatan untuk menunggu serangan kami dan ia membuatkan ia menjadi sukar walaupun kami mengawal perlawanan.

"Kami tidak bagus dalam situasi di depan gol. Tuan rumah meraih semangat selepas sepakan penalti Messi dan kemudian mencatat jaringan," kata Valverde.

Dalam masa sama, Valverde turut berpendapat Espanyol tetap pasukan pilihan menjelang aksi kedua pada 26 Januari.

"Bagaimanapun, pasukan yang mempunyai kelebihan tetap lebih layak menang tetapi kami akan cuba untuk menjaringkan gol dalam aksi kedua kerana ini adalah kejohanan melibatkan piala," tambahnya.