"Barcelona akan menikmati segala aspek yang ada, termasuk hidangan, di stadium baru milik Atletico Madrid."

Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali Barca, Ernesto Valverde, selepas panjang rumput di Stadium Wanda Metropolitano menjadi perbualan dan pengurus Atletico, Diego Simeone, menyifatkan keadaan itu mungkin dilakukan untuk memudahkan aksi tuan rumah.

Valverde membalas dalam sidang media pasukannya dengan menyifatkan Barca sentiasa bersedia dengan sebarang cabaran menjelang pertemuan hari ini.

"Saya bukan tukang kebun, saya seorang jurulatih. Saya ke padang dan melakukan persiapan untuk pasukan tetapi apabila anda menjemput saya ke rumah anda, anda menyediakan alas meja, pinggan dan cawan milik anda," kata Simeone.

"Kami akan menikmati segala menu yang diberikan, daripada makanan sehingga segala-galanya," balas Valverde.

"Barcelona sedar bahawa kami bakal beraksi di stadium yang tidak kami rasai pengalamannya."

Sepanjang karier sebagai pengurus, Valverde tidak pernah menewaskan Simeone, namun yakin mampu menamatkan penantian itu kali ini.

"Tiada sebarang penjelasan. Saya yakin pasukan yang saya latih hari ini lebih baik daripada sebelum ini. Saya akan terus cuba dan kita akan saksikan kesudahannya.

"Kami akan berdepan pasukan yang turut mengejar kejuaraan, jadi perlawanan ini semakin penting," kata Valverde.