Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, menjangkakan Luis Suarez akan kembali beraksi apabila turun menentang Espanyol, Sabtu ini.

Suarez beraksi sepenuh masa sewaktu Barca mencatat keputusan seri 1-1 menentang Atletico Madrid bulan lalu tetapi kemudian menjalani rawatan sel untuk mengenal pasti masalah di lutut kanannya.

Barca bakal melayan kunjungan Cultural Leonesa dalam aksi kedua pusingan 32 Piala Raja Sepanyol awal pagi esok setelah mendahului 1-0 ketika pertemuan pertama dan Valverde menjelaskan penggempur Uruguay itu tidak akan diturunkan tetapi kini semakin pulih.

"Ya, kami yakin. Dia tidak akan bersama pasukan esok tetapi itu tidak bermaksud dia tidak akan pulih," ujar Valverde.

"Kami mahu dia kembali hujung minggu ini."

Valverde menerima tamparan hebat selepas Rafinha disahkan bakal berehat enam bulan akibat kecederaan lutut tetapi dia berharap situasi itu akan memberi laluan buat pemain berusia 20 tahun, Carles Alena, untuk beraksi selepas dinaikkan ke skuad utama.

"Saya rasa Alena bermain baik sebelum ini," tambah Valverde.

"Kami fikir dia akan bersama kami tahun ini tetapi disebabkan pembedahan di penghujung musim lalu, kami harus menunggu.

"Asalnya, dia akan menerima peluangnya Januari ini tetapi dipercepatkan akibat kecederaan yang melanda Rafinha.

"Kami berharap segalanya berjalan lancar dan semoga dia mampu menjadi pemain penting buat Barca."

Ditanya sama ada dia bakal membuat banyak perubahan menjelang aksi esok, Valverde menjawab: "Bukan hanya satu perubahan akan berlaku.

"Terdapat pertukaran dalam kesebelasan utama dan akan ada pemain yang tidak menerima banyak peluang sebelum ini akan dapat beraksi.

"Namun, jangan lupa ia bukan sekadar melihat apa yang boleh dilakukan pemain tetapi ia tentang kemenangan. Kami memiliki motivasi tinggi untuk perlawanan itu."