Pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, berkata dia tidak tahu-menahu sekiranya Arturo Vidal berang dengan keputusannya meminggirkan pemain itu dalam kesebelasan utama pertemuan dengan Tottenham, awal pagi Khamis lalu.

Vidal dilaporkan berang tidak dinamakan dalam kesebelasan utama dalam kemenangan 4-2 kempen Liga Juara-Juara (UCL) di Wembley yang menyaksikan Valverde kembali menampilkan empat pemain tengah.

Tonggak Chile itu memaparkan tanda marah di media sosial sebelum dipadamkan dan memuat naik mesej di Twitter yang berbunyi: "Jangan pernah berputus asa! Yang terbaik belum tiba."

Vidal berusaha keras untuk merebut tempat kesebelasan utama sejak tiba daripada Bayern Munich dan dilaporkan semakin kecewa kerana jarang beraksi.

Valverde, bagaimanapun, kelihatan tidak senang dengan reaksi terbaru itu.

"Kami merupakan sebuah pasukan, dia tidak memberitahu saya apa-apa. Saya tidak tahu sama ada dia marah terhadap permainan atau tentang insiden aksi domestik," kata Valverde dalam sidang media.

Kemenangan Barca ke atas Spurs diilhamkan oleh Lionel Messi yang meledak dua gol selain memainkan peranan penting dalam gerakan gol Philippe Coutinho dan Ivan Rakitic.

Valverde mengakui pentas Eropah mungkin menggalakkan bintang Argentina tersebut untuk menunjukkan "semangat" yang lebih besar, namun dia menganggap ia adalah hasil kerja keras kesemua anak buahnya.

"Saya fikir dia masih sama dalam setiap perlawanan," katanya. "Setakat semangat, ya, permainan tertentu mungkin melonjakkan semangat pemain. Terdapat rentak luar biasa dipamerkan para pemain dalam perlawanan tertentu, bukan setakat Messi.

"Begitupun, saya melihat Leo turun dengan semangat yang sama dalam setiap perlawanan."

Barca bakal menghadapi Valencia di Mestalla awal pagi ini untuk aksi terakhir mereka sebelum rehat antarabangsa.

Terdapat kebimbangan mengenai Luis Suarez yang terlepas perlawanan akibat kecederaan lutut dan dia akan mula menjalani rawatan esok, namun Valverde berharap dapat melibatkannya.

"Dia sudah berlatih dengan kami, hari ini. Semalam, dia tidak berlatih kerana ia adalah sebahagian daripada pemulihannya, dia adalah sebahagian daripada perancangan perlawanan," kata Valverde.